MUDAH disebut dan kerap kali diingatkan, tetapi masih ramai yang
bersikap tidak kisah. Realitinya, itulah sikap masyarakat terhadap
penyakit darah tinggi atau hipertensi.
Sedar atau tidak, hipertensi menjadi antara penyakit paling umum
dihidapi ramai, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana hipertensi menjadi
antara faktor penyebab strok, serangan jantung dan kegagalan buah
pinggang berfungsi. Akibat terburuk daripada penyakit itu adalah
kematian. Justeru, penyakit yang membawa punca kesengsaraan hidup dan
meragut nyawa itu harus dicegah.
Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (PHP), Dr Azani Mohamed Daud,
berkata jika seseorang itu memiliki tekanan darah yang tinggi hendaklah
mengawalnya supaya tidak terus memudaratkan tahap kesihatannya.
Dr Azani berkata, kebimbangan penyakit hipertensi yang semakin meningkat
dan menjadi faktor risiko penyakit kardiovaskular bukan saja di negara
ini, tetapi juga di seluruh dunia. Dianggarkan bahawa 972 juta orang
menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi di seluruh dunia. Jumlah
itu dijangka meningkat kepada 1.56 bilion menjelang 2025 bersamaan kadar
kira-kira seorang daripada setiap tiga orang dewasa berusia lebih 20
tahun.
Sama ada lelaki atau wanita, kedua-duanya boleh mendapat penyakit
hipertensi. Apa yang membimbangkan, penyakit itu disifatkan antara
penyakit yang membunuh dalam senyap kerana ia menyerang pesakit tanpa
sebarang tanda memandangkan kebanyakan pesakit tidak dikaitkan dengan
sebarang simptom dan hanya menyedarinya selepas menjalani pemeriksaan
doktor ataupun lebih serius diserang strok yang boleh membawa maut atau
lumpuh, sekali gus mengurangkan kualiti hidup, katanya ketika ditemui
pada majlis pelancaran Persidangan Mesyuarat Tahunan Persatuan
Hipertensi Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Dr Azani berkata, walaupun hipertensi berleluasa dan menjadi satu faktor
risiko utama bagi penyakit kardiovaskular, ia antara sebilangan faktor
risiko yang boleh dikawal. Ini termasuklah, mengubah cara gaya hidup
yang lebih sihat seperti melakukan senaman, berhenti merokok,
mengurangkan kolesterol dan mengelakkan diri menjadi obesiti.
Katanya, gaya hidup masyarakat urban pada masa kini yang terlalu sedikit
melakukan senaman dan terlalu banyak makan adalah antara punca utama
yang menyebabkan hipertensi.
Masalah obesiti juga ada di kalangan kanak-kanak dan menjadi isu masa
kini. Semua itu adalah berpunca amalan pemakanan dan gaya hidup yang
tidak sihat, sekali gus menjadi punca utama hipertensi di kalangan
generasi muda. Berasaskan data terkini yang boleh didapati,
sekurang-kurangnya 42 peratus dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun
mengalami hipertensi.
Hanya 35.8 peratus yang prihatin mereka mempunyai hipertensi. Tetapi
lebih membimbangkan lagi kerana daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang
menghidap penyakit ini hanya lapan peratus daripada mereka dapat
mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh
diterima, katanya lagi.
Semua data dikemukakan itu adalah hasil kajian Morbiditi dan Kesihatan
Kebangsaan ke-3 yang dijalankan pada 2006 dan membabitkan orang dewasa
berusia 30 tahun serta ke atas. Berbanding 10 tahun lalu, jumlah purata
didapati meningkat daripada 33 peratus hingga 43 peratus.
Menjelaskan penyakit hipertensi Dr Azani berkata, darah tinggi
sebenarnya terjadi apabila darah dalam 'arterial' dan 'venous circuit'
sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada
biasa. Keadaan itu menyebabkan jantung bekerja lebih keras untuk
menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh dan menyebabkan masalah
kesihatan yang serius.
Membicara lebih lanjut hipertensi dan wanita Dr Azani berkata,
kebanyakan wanita hamil hanya mengalami masalah yang ringan dan dianggap
biasa saja, tetapi sebilangan kecil yang kurang bernasib baik mengalami
masalah serius yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak yang
dikandungnya.
Wanita hamil memang kerap mengalami masalah penyakit darah tinggi. Tetap
ramai juga wanita tidak menyangka mereka boleh menghidap hipertensi
ketika hamil. Ini kerana mereka berkeadaan sihat dan tidak menghidap
sebarang penyakit sebelum hamil. Sesetengah wanita mungkin hanya
mengalami tekanan darah tinggi sepanjang tempoh kehamilan saja tetapi
selepas bersalin keadaan kembali normal.
Ini berlaku kerana ramai wanita mengandung makan berlebihan kerana
selera mereka meningkat ketika hamil. Ini menyebabkan mereka mengalami
masalah darah tinggi.
Namun, tidak kurang juga ada wanita selepas bersalin akan berterusan
dikesan berdepan dengan masalah tekanan darah tinggi. Justeru, seseorang
itu perlu mengawalnya dan tidak boleh ambil mudah saja, katanya.
Dr Azani berkata, bagi wanita yang mempunyai masalah darah tinggi
sebelum hamil, perlu lebih berhati-hati. Apa yang penting, wanita
berkenaan tidak menghentikan pengambilan ubat ketika tempoh kehamilan
bagi mengawal masalah darah tinggi yang dialaminya. Malah, untuk tidak
membahayakan diri dan anak yang bakal dikandung, adalah lebih baik jika
wanita yang berdepan yang masalah seperti itu mendapatkan pandangan
doktor terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk hamil.
Begitu juga apabila wanita itu mengetahui dia hamil, patutlah
mendapatkan pemeriksaan doktor dengan secepat mungkin untuk tujuan yang
sama. Jika terdapat sesuatu penyakit, bolehlah diberi rawatan dan jagaan
yang sewajarnya sejak dari peringkat awal lagi. Pemeriksaan setiap
bulan khususnya di peringkat akhir kehamilan sangat penting untuk
mengesan penyakit darah tinggi, katanya.
Jika keadaan itu tidak terkawal ia boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.
Kemungkinan bayi akan mati dalam kandungan. Bayi itu juga biasanya lahir
dengan timbang berat yang ringan dan kadangkala lahir sebelum cukup
bulan. Kedua-dua masalah berkenaan boleh mengancam nyawa dan
kesejahteraan bayi pada masa hadapan.
Katanya lagi, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk
menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat tempatan, pendidikan pesakit
perlu menjadi satu keutamaan. Individu perlu melakukan saringan
pemeriksaan kesihatan dan melakukan pemeriksaan susulan bagi mencapai
sasaran.
Selain itu, kesedaran mengenai bahaya penyakit hipertensi perlu
dipertingkatkan di kalangan masyarakat. Adalah penting bagi pesakit
hipertensi mengambil ubat mengikut jadual bagi memastikan tekanan darah
terkawal pada setiap masa.
INFO: Penyebab Darah Tinggi
# Keturunan: Faktor ini tidak boleh dielakkan. Jika seseorang memiliki
ibu bapa atau ahli keluarga yang memiliki tekanan darah tinggi, maka
kemungkinan ia menderita tekanan darah tinggi lebih besar. Statistik
menunjukkan bahawa masalah tekanan darah tinggi lebih tinggi pada kembar
seiras berbanding sebaliknya. Sebuah penelitian menunjukkanm ada bukti
gen yang diturunkan menyumbang masalah tekanan darah tinggi.
# Usia: Faktor ini juga tidak boleh dielakkan. Penelitian menunjukkan,
semakin usia seseorang itu bertambah, tekanan darah pun akan meningkat.
Anda tidak dapat mengharapkan, tekanan darah ketika anda muda akan sama
ketika bertambah tua. Namun, anda dapat mengendalikan supaya jangan
melewati batas atas yang normal.
# Garam: Faktor ini boleh dikendalikan. Garam dapat meningkatkan tekanan
darah dengan cepat pada sesetengah individu orang, khususnya bagi
penderita diabetes, hipertensi ringan, orang tua, dan mereka yang
berkulit hitam.
# Kolesterol: Faktor ini boleh dikendalikan. Kandungan lemak yang
berlebihan dalam darah boleh menyebabkan timbunan kolesterol pada
dinding pembuluh darah. Hal ini boleh membuatkan pembuluh darah
menyempit dan akibatnya tekanan darah akan meningkat. Kendalikan
kolesterol sebaik mungkin.
# Obesiti/Kegemukan: Faktor ini boleh dikendalikan. Individu yang
memiliki berat badan melebihi 30 peratus berat badan ideal, memiliki
kemungkinan lebih besar menderita tekanan darah tinggi.
# Stres: Faktor ini boleh dikendalikan. Stres dan keadaan emosi yang tidak stabil juga mengakibatkan tekanan darah tinggi.
# Rokok: Faktor ini boleh dikendalikan. Merokok juga dapat meningkatkan
tekanan darah menjadi tinggi. Kebiasaan merokok dapat meningkatkan
risiko diabetes, serangan jantung dan strok.
# Kafein: Faktor ini boleh dikendalikan. Kafein yang terdapat pada kopi,
teh mahupun minuman lain menyebabkan peningkatan tekanan darah.
# Alkohol: Faktor ini boleh dikendalikan. Pengguna alkohol secara berlebihan juga menyebabkan tekanan darah tinggi.
# Kurang Olahraga: Faktor ini boleh kendalikan. Kurang olahraga dan
bergerak boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh meningkat. Olahraga
teratur mampu menurunkan tekanan darah tinggi tetapu jangan melakukan
olahraga yang berat jika anda menderita tekanan darah tinggi.
perolehan sumber